Fitnah Dalam Agama : Bagai Hujan di Musim Tengkujuh

Assalamulaikum...


sekadar renungan bersama..


Sesungguhnya segala puji hanya bagi Allah. Kita memuji-Nya, memohon pertolongan dari-Nya, memohon petunjuk dari-Nya, dan memohon keampunan dari-Nya. Kita memohon perlindungan dari Allah dari segala keburukan diri kita dan dari segala kejelekan amalan kita. Barangsiapa yang telah diberikan petunjuk hidayah padanya, maka sekali-kali dia tidak akan sesat, dan barangsiapa yang telah sesat, maka tiadalah petunjuk baginya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Muhammad bin Abdillah itu hamba-Nya serta pesuruh-Nya.

Dalam perjalanan kita menyelusuri denai-denai kehidupan ini, kita akan bertemu dengan pelbagai rintangan yang menghalang kita untuk terus mara kedepan dan membuatkan langkah kita terhenti. Keadaan akan menjadi lebih buruk, apabila rintangan yang datang membawa dan mendorong kita kearah kesesatan yang lebih memudharatkan. Hal ini dapat juga diumpamakan dengan kehidupan dalam beragama kita. Gelombang fitnah yang kian membesar, kecelaruan yang semakin bertambah kekusutannya. Perbalahan yang tidak sudah. Kepelbagaian pemikiran yang semakin meresahkan. Ahbash, Syi’ah, Mu’tazilah, Khawarij, Wahabi, Tareqat-tareqat dan pelbagai lagi.Kesemuanya ingin menegakkan kebenaran masing-masing, mangsanya adalah orang awam yang tidak mengerti apa yang diperbincangkan. Kita doakan agar Allah menzahirkan kebenaran diatas lisan-lisan mereka. Dalam usaha untuk mengelak dari terjebak dengan fitnah yang melanda ini, beberapa tindakan perlu diambil.

1. Kembali Merujuk Kepada Nas Al-Quran dan Hadith yang Shahih

Didalam hal ini, kita perlu mengambil langkah yang paling selamat dalam berurusan dengan hal yang berkaitan dengan keagamaan. Firman Allah S.W.T didalam surah An-Nisa’, ayat 59:

59. Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

Didalam sebuah hadith yang shahih pula, Rasulullah berpesan kepada kita bahawa hanya ada 2 perkara yang dapat menyelamatkan kita dari kesesatan.

“Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara yang kamu tidak akan sesat selamanya apabila kamu berpegang kepada keduanya, iaitu Kitabullah(Al-Quran) dan Sunnahku”

(Hadith riwayat Imam Malik didalam kitabnya Al-Muwattha’,Dishahihkan oleh Al-Albani didalam Siilsilah Al-Ahadiits As-Shahiihah,no 1761)

Menjadi masalah sekali lagi apabila kesemua aliran-aliran ini mendakwa mereka mengikut Al-Quran dan Sunnah. Dalam hal ini, pendapat siapa pula yang perlu kita dahulukan? Allah mengajar kita dalam surah An-Nahl, ayat 43

43. …Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan[828] jika kamu tidak mengetahui,

Jika Al-Quran kita bertanyakan kepada ahli tafsir yang muktabar, buku-buku mereka banyak yang tercetak untuk kita mengkajinya. Manakala sunnah nabi, kita akan dapat dari hadith-hadith baginda, maka kita utamakan pendapat mereka yang mempelajari dan mendalami ilmu hadith dari mereka yang belajar hadith sedikit.

Para Muhadithin(ahli hadith) mengingatkan kepada orang awam (yang tidak mempelajari ilmu hadith) agar mengambil hadith-hadith yang shahih dan Hasan dan setaraf dengannya dalam menjalani kehidupan beragama. Manakala tinggalkan hadith yang lemah (dha’if) dan yang lebih rendah darjatnya lebih-lebih lagi, amalan ibadah khusus yang tidak ada sandarannya dari nas-nas yang shahih. Inilah perkara yang paling mudah dan menyelamatkan.

2. Berlapang Dada Apabila Berbeza Pendapat

Seterusnya, apabila adanya perbezaan pendapat antara para ulama’, dan setiap perbezaan itu pula ada hujah-hujahnya dari Al-Quran dan Hadith Nabi S.A.W. Kita dianjurkan berlapang dada dengan setiap pendapat para ulama’ dan bukannya kita menghukum orang yang tidak mahu menerima pendapat kita. Kesemua para imam mazhab dalam membicarakan pendapat-pendapat ulama’ mereka berlapang dada, dan menyeru kepada ummah ini agar memerhatikan hujah-hujah mereka, dan seandainya hujah mereka bercanggah dengan As-Sunnah (hadith Nabi yang shahih). Kita bawakan pendapat setiap dari mereka.

i. Imam Abu Hanifah - “Apabila shahihnya sesuatu hadith, maka itulah mazhabku”

(Ibn Abdil Barr dalam Al-Jami’)

ii. Imam Malik bin Anas - “Pendapat setiap orang boleh diambil dan ditolak,kecuali Nabi S.A.W.”

(Ibn Abdil Hadi menshahihkan ucapan ini dalam kitab Irsyadus Salik)

iii. Imam As-Syafi’e“Apabila kamu menjumpai sesuatu dalam kitabku yang bercanggah dengan Hadith Nabi S.A.W., ambillah hadith Nabi S.A.W. dan tinggalkan pendapatku itu”

(Ibn Qayyim dalam I’lam Al-Muwaqi’in, Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq, An-Nawawi dalam Al-Majmu’)

iv. Imam Ahmad Bin Hanbal – “Pendapat Al-Auza’I, Malik dan Abu Hanifah semuanya adalah pendapat. Bagiku semuanya sama. Adapun Al-Hujjah adalah pada Atsar(Hadith)”

(Ibn Abdil Barr dalam Al-Jami’)

(Kesemua pandangan diatas juga turut dicatatkan oleh Syeikh Nashiruddin Al-Albani dalam Muqaddimah kitabnya Sifat Shalat Nabi,m/s 52-63,cetakan Media Hidayah)

Jika kita perhatikan sikap kesemua Imam-imam mazhab yang di iktiraf oleh Ahlul Sunnah Wal Jama’ah ini, mereka tidak pula melabelkan orang yang meninggalkan pendapat mereka kerana mengambil sunnah Nabi yang shahih dengan label yang tidak sepatutnya. Malah mereka menyeru kepada ummat ini agar berpegang pada hadith-hadith yang shahih dari Nabi S.A.W.

3. Memastikan kebenaran setiap berita

Kita hidup dizaman fitnah yang melanda ummat bagaikan hujan dimusim tengkujuh. Dalam usaha untuk menghindari dari fitnah-fitnah yang melanda, kita sendiri perlu membuat semakan semula segala berita yang kita terima. Ya, amat membebankan, tapi perkara inilah yang akan membolehkan kita mengetahui siapa yang membawa kebenaran, siapa yang ada kepentingan, dan siapa yang membuat penyelewengan. Jangan menjadi seorang yang biarkan dirinya dilambung ombak fitnah, yang akhirnya mati kelemasan sendirian. Dan cara ini juga dapat mengelakkan kita dari memfitnah atau melabel seseorang tanpa kita mengetahui kebenaran cerita tersebut. Allah berfirman dalam surah Al-Hujurat, ayat 6.

6. Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, Maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

Allah memerintahkan kepada kita agar meneliti berita yang disampaikan agar kita tidak memfitnah dan menghukum orang lain dek kerana kejahilan kita. Selagi lagi, selidikilah keshahihan setiap berita yang diterima!

4. Berdoa Pada Allah S.W.T

Rasulullah S.A.W. mengajarkan ummatnya dengan beberapa do’a, yang isi kandungan do’a tersebut kita memohon perlindungan dari Allah S.W.T. dari segala fitnah. Antara do’a-do’a yang diajarkan oleh Nabi S.A.W.

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari siksa Neraka Jahannam, siksa azab kubur, dan dari fitnah ketika hidup dan sesudah mati, dan aku berlindung pada-Mu dari segala kejahatan Al-Masih Ad-Dajjal”

(Hadith Shahih dari Abu Hurairah, diriwayatkan oleh Imam Muslim)

“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu perbuatan-perbuatan yang baik, meninggalkan yang mungkar, mencintai orang miskin, dan Engkau ampunilah aku, dan sayangilah aku. Dan jika Engkau hendak menimpakan suatu fitnah (malapetaka) kepada sesuatu kaum, maka matikanlah aku dalam keadaan tidak terfitnah. Ya Allah, aku memohon kecintaan-Mu, kecintaan orang yang mencintai-Mu, dan kecintaan terhadap amalan yang mendekatkan aku kepada mencintai-Mu.”

(Hadith ini diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, Al-Hakim, Ahmad, dan Tirmidzi menghasankan hadith ini dan berkata “Aku pernah bertanya kepada Muhammad bin Isma’il (Imam Bukhari), maka dia menjawab ‘Hadith ini Hasan Shahih’”)

Moga Allah menghindari kita dari segala bentuk fitnah yang melanda dunia Islam pada masa kini. Semoga Dia menzahirkan kebenaran dicelah-celah fitnah yang berlaku.Allahumma Ameen.

Comments

penulisan yang amat bagus..perlu diteruskan dari masa ke seamasa
Adi Wahab said…
syukran...

insyaAllah...akan diperbaiki..
tegur la ek kalau da pe2..

Popular posts from this blog

Terima kasih atau Jazakallah Khairan....

Hukum Bersalaman dan Aurat dengan Kakak/Abang Ipar

Ketika Musibah Menimpa