Bagi Souvenier utk insan yang kita hargai...

Followers

Sunday, February 17, 2008

www.tips-fb.com

Mari Mengenal Imam Bukhari!!

Imam al-Bukhari atau nama sebenarnya Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardazabah atau dikatakan bin Yazdabah. Sesetengah orang menggelarnya Ibnul Ahnaf, Abu Abdullah bin Abil Hasan al-Bukhari al-Hafiz. Imam al-Bukhari termasuk salah seorang daripada enam pengumpul dan penyusun kitab-kitab hadis yang terkenal dalam dunia Islam iaitu Muslim,Ibn Majah,Tirmizi,Abu Daud dan Nasaie, yang mana kitab-kitab mereka dikenali sebagai Kutub as-Sitttah . Beliau dilahirkan pada hari jumaat 13 hari bulan Syawal 194H. Bapanya meninggal dunia semasa beliau masih kecil dan Imam Bukhari membesar dan tumbuh di bawah asuhan ibunya. Beliau meninggal pada hari Sabtu, 1 hari bulan Syawal 256H iaitu ketika beliau berumur 62 tahun setelah meninggalkan jasa yang cukup besar kepada Islam dan umat Islam yang berguna sehingga hari kiamat.
Imam al-Bukhari adalah seorang yang telah terkenal akan kehebatannnya dalam hadis, sehinggakan apabila sesebuah hadis itu disebut sebagai "riwayat al-Bukhari" maka ia memberi tanda kekuatan seolah-olah hadis itu tidak perlu disemak lagi akan kesahihannya. Bukanlah kita mengatakan bahawa al-Bukhari maksum, akan tetapi setelah dikaji zaman-berzaman, sejak kitab sahih Bukhari ini ditunjukkan kepada guru-guru Imam Bukhari seperti Yahya ibn Mai'n, Imam Ahmad ibn Hanbal dan imam-imam lainnya, mereka telah menyokong penuh akan kesahihan hadis-hadis dalam kitab sahihnya kecuali beberapa hadis yang tidak sepakati akan darjatnya. Ini bermakna majoriti hadis-hadis dalam kitab Sahih Bukhari telah diakui kesahihannya sejak zaman ia ditulis sehingga Imam Bukhari meninggal, malah telah cuba dibincang semula setelah Imam Bukhari meninggal.
Contohnya, Imam ad-Daruquthni pernah cuba membincang dan menyemak semula kesahihan hadis-hadis dalam kitab Sahih Bukhari, walaupun terdapat beberapa hadis dalam Sahih Bukhari yang dibincangkan dan diragui akan darjat kesahihanya, namun setelah dilihat dari segi hujah, didapati hujah-hujah Imam Bukhari dalam mensahihkan hadis-hadis dalam kitab sahihnya adalah lebih kuat. Secara ringkasnya, semua hadis-hadis dalam kitab Sahih Bukhari telah diakui akan kesahihannya oleh para muhaddith sezaman dengannya, ataupun setelah al-Bukhari meninggal dunia. Selain itu, beliau hanya memasukkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh golongan yang pertama sahaja dan meninggalkan riwayat golongan yang lain, serta meletakkan syarat-syarat yang ketat untuk mensahihkan hadis-hadis dalam kitab sahihnya. Oleh sebab ketelitian beliau inilah, maka kitab Sahih Bukhari ini menjadi rujukan utama dalam senarai kitab-kitab hadis dalam dunia Islam.
Imam Bukhari adalah seorang yang bukan berbangsa Arab, malah jika diteliti dari segi tempat lahir akan keenam-enam Imam penyusun Kutub al-Sittah akan didapati mereka semua adalah bukan berketurunan Arab, kecuali Imam Muslim yang mempunyai asal-usul talian dengan bangsa Quraish Arab. Tetapi secara ringkasnya, mereka semua adalah bukan berketurunan Arab, dan ini semua memberikan petanda kepada kita bahawa Agama Islam ini dipelihara oleh bangsa Arab dan bukan Arab. Oleh itu, adalah tidak mustahil untuk sesiapa sahaja samada Arab atau tidak untuk mendalami dan menguasai bidang hadis,asal mempunyai minat dan usaha yang bersungguh-sungguh.
Bukan menjadi tujuan dalam penulisan ini untuk menyanjung Imam Bukhari semata-mata, ini adalah kerana beliau tidak memerlukan apa-apa sanjungan lagi daripada kita. Malah, sebarang pujian atau kritikan terhadap beliau tidak akan menjejaskan sedikitpun kedudukan Imam Bukhari pada mata dunia Islam, yang pasti beliau telah meninggal dunia dan meninggalkan kepada kita bukti keilmuan yang hebat, pujian-pujian para ulama, hasil karya yang bermutu tinggi dan disanjung para ulama dulu sehingga kini. Apa yang perlu dan lebih penting untuk dilakukan oleh kita adalah bukan mengkagumi dan menyanjung beliau semata-mata, akan tetapi adalah menjadi kewajipan kita melihat dan mengambil contoh akhlak dan sifat beliau untuk kita praktikkan pada diri kita dan umat Islam. Ramai antara kita di Malaysia suka memuji dan menyanjung kehebatan ulama-ulama silam, akan tetapi malangnya amat sedikit yang berusaha mengambil langkah lebih kehadapan dengan mengikuti jejak langkah mereka, sehingga pujian hanya tinggal pujian tanpa hasil kepada umat.Akhirnya, kita hanya menyanjung ulama-lama silam tanpa melahirkan pengganti mereka. Tujuan penulisan ini dibuat adalah untuk kita melihat kepada sifat Imam al-Bukhari, dan yang lebih penting adalah melihat apakah sifat-sifat dan ciri-ciri al-Bukhari yg dapat kita contohi dan praktikkan dalam hidup kita, terutamanya kepada mereka-mereka yang ingin mendalami ilmu-ilmu Islam. Walaubagaimanapun, kita akan lebih menfokuskan kepada akhlak dan sifat Imam Bukhari dalam kajian Hadis.
Para ulama bersepakat bahawa Imam Bukhari adalah salah seorang ahli fiqh dan pakar ijtihad. Ahmad bin Sayar berkata dalam kitab Tarikh al-Marwi: "Muhammad bin Ismail adalah seorang yang suka mencari ilmu, mempergauli orang ramai, berkelana mencari hadis, memiliki ingatan yang kuat, dan seorang pakar fiqh". Sehinggakan Muhammad al-Masandi berkata: "Muhammad bin Ismail adalah seorang imam atau ikutan, maka barang siapa yang tidak menjadikannya imam tercelalah orang tersebut". Selain itu beliau juga merupakan seorang yang zuhud, tawadduk, waraq dan seorang yang soleh.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Penulis menghasilkan penulisan ini berdasarkan rakaman audio Mp3 kuliah guru penulis iaitu Ustaz Adlan bin Abdul Aziz, bertajuk "Rahsia al-Bukhari" di IIUM Kuantan,Pahang. Selain itu penulis turut menambah beberapa isi dari buku "Biografi Ulamak-Ulamak Hadith" oleh Prof. Madya DR. Ariffin bin Omar dan H.M Yusuf Sinaga L.c, terbitan Jahabersa 2005

Kutub al-Sittah, atau buku-buku yang enam iaitu sunan Tirmizi,sunan Ibn Majah, sunan Nasaie,sunan Abu Daud,sahih Bukhari dan sahih Muslim. Sesetengah memanggil kitab-kitab ini sebagai al-Usul al-Sittah dan as-Sihah al-Sittah. Digelar Usul al-Sittah adalah kerana kitab-kitab ini telah menjadi pokok dalil bagi Umat Islam seluruhnya,biasanya kita tidak akan terlepas daripada enam kitab ini dalam sumber dalil fiqh. Walaubagaimanapun,nama as-Sahih al-Sittah adalah tidak digalakkan kerana ia memberi gambaran yang kurang tepat seolah-olah keenam-enam kitab ini semuanya mengandungi hadis-hadis yang sahih, sedangkan bukan semuanya sahih. Nama kutub al-Sittah adalah nama yang paling popular antara semuanya. Perlu diberi perhatian, sesetengah orang menggelar kitab-kitab ini sebagai Sunan al-Sittah, penamaan kitab-kitab ini sebagai Sunan al-Sittah adalah tidak tepat, kerana kitab Sunan yang popular hanyalah empat (iaitu sunan Ibn Majah, sunan Tirmizi, sunan Abu Daud, sunan Nasaie) dan dikenali sebagai sunan Arba'ah.

Yang dimaksudkan "riwayat Bukhari" disini adalah hadis-hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari dalam sahihnya, iaitu kitab sahih Bukahri, dan bukan selainnya. Selain kitab sahih Bukhari, Imam al-Bukhari juga menyusun sebuah kitab hadis lain yang terkenal selain sahih Bukhari iaitu kitab "al-Adab al-Mufrad". Dan hadis-hadis dalam kitab al-Adab al-Mufrad ini tidaklah kesemunya sahih, ini bukanlah pelik kerana tujuan Imam Bukhari menyusun kitab al-Adab al-Mufrad ialah untuk mengumpul sebanyak mungkin hadis-hadis berkaitan adab-adab tanpa menapis sahih atau tidak. Kitab al-Adab al-Mufrad ini telah ditahqiq dan ditakhrij hadis-hadisnya oleh al-a'lamah Muhammad Nasiruddin al-Albani

Sebenarnya nama Sahih Bukhari ini adalah ringkasan bagi judul asal karangan Imam Bukhari iaitu kitab "al-Jami' al-Sahih li Musnad min Hadis Rasulallah wa Ayyamihi". Disebabkan judul ini terlalu panjang, kitab ini lebih dikenali dengan judul yang lebih pendek iaitu Sahih Bukhari.Judul tersebut dipilih Imam Bukhari kerana mempunyai maknanya yang tersendiri. "Al-Jami'" bermaksud kumpulan lengkap hadis-hadis Rasulullah yang meliputi semua bidang keperluan hidup Umat Islam. "al-Sahih" pula bermaksud keseluruhan hadis yang terdapat di dalam karangan beliau adalah hadis-hadis yang sahih. Sementara "al-Musnad" pula bererti hadis-hadis beliau mempunyai sanad yang bersambung hingga kepada sahabat yang merawikan sesuatu hadis, ini tidak termasuk hadis-hadis yang diletakkan Imam Bukhari sebagai pendahuluan bab,matabik,pembentangan sahaja dan bukan sebagai asas yang dikehendaki dalam penulisannya, yang dikenali sebagai hadis Muallaq dalam Sahih Bukhari,dan hadis-hadis Muallaq ini telah dikaji akan darjatnya oleh Ibn Hajar dalam kitabnya Taghliq al-Ta'liq. Dan akhir sekali, perkataan "ayyamihi" bermaksud,hadis-hadis tersebut merupakan hadis yang disampaikan oleh Rasulullah SAW sepanjang hidup baginda. Imam Bukhari mengambil masa lebih kurang 16 tahun untuk menyiapkan kitab Sahihnya ini

Menurut Abu Ja'far al-U'qaili, hanya terdapat 4 hadis (daripada 7124 hadis) yang dipertikaikan kesahihannya oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Yahya ibn Main dan Ali ibn Madini. Kesalahan yang amat kecil ini menunjukkan kehebatan Imam Bukhari.
www.tips-fb.com

Pilihanraya: Antara Calon Dan Keperluan Rakyat

Sudah beberapa hari Parlimen kita dibubarkan. Teka-teki tarikh pilihanraya sudah berhenti. Apa yang sedang panas diperkatakan adalah teka-teki siapa calon-calon yang bakal ditempatkan oleh pertubuhan-pertubuhan politik yang akan bertanding.

Ada insan-insan yang membayangkan mimpi indah dan ada juga yang bimbangkan mimpi gundah. Saya tidak ingin memperkatakan tentang nasib mereka, tapi ingin memperkatakan tentang tangan-tangan yang ingin memilih mereka. Samada tangan itu pemimpin tertinggi pertubuhan-pertubuhan politik, atau rakyat yang akan mengundi nanti.

Saya amat tertarik dengan surat Saidina Abu Bakr al-Siddiq yang mengandungi wasiat tentang calon pilihannya dalam menggantikan beliau yang ketika itu begitu teramat uzur. Beliau meminta supaya Saidina ‘Uthman menulis untuknya seperti berikut: “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Inilah apa yang diamanatkan oleh Abu Bakr bin Abi Quhafah pada waktu terakhir kehidupan di dunia dan sedang keluar daripadanya, serta permulaan kehidupannya di akhirat dan sedang masuk ke dalamnya. Di mana ketika seperti ini seorang kafir akan beriman, seorang yang jahat akan yakin, dan seorang pembohong akan bercakap benar. Aku melantik untuk kamu semua selepas aku ini ‘Umar bin al-Khattab. Dengar dan taatlah kepadanya. Sesungguhnya aku tidak akan melewatkan sebarangkan kebaikan untuk Allah (keredhaanNya), RasulNya, agamaNya, diriku dan kamu semua. Sekiranya dia (Umar) berlaku adil, maka itulah sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia mengubahnya (kepada tidak adil), maka setiap orang akan menanggung dosa yang telah dilakukannya. Aku bertujuan untuk kebaikan dan aku tidak pula mengetahui yang ghaib (keadaan masa hadapan). Maka nanti mereka yang zalim akan mengetahui di manakah tempat kesudahan mereka. Wassalam ‘alaikum warahmatullah”. (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/200, Beirut: Dar al-Fikr).

Surat ini menggambarkan betapa Saidina Abu Bakr sedarkan dirinya dan kita semua bahawa soal pemilihan mereka yang akan menguasai urusan rakyat mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan penghakiman Allah terhadap kita pada hari kiamat kelak. Maka mereka yang hendak dipilih, hendaklah mereka yang kita yakin akan mampu menegakkan keadilan dan kemaslahatan umat.

Jika kita pilih mereka yang berpotensi merosakkan umat, maka itu adalah dosa yang teramat di sisi Tuhan. Juga, calon-calon yang dipilih itu hendaklah sedar bahawa neraka adalah kesudahan buat mereka yang zalim yang gagal menunaikan amanah dan tanggungjawab kepimpinan.

Memilih calon atau mengundi walaupun kelihatannya ringkas sahaja sekadar meletakkan nama atau memangkah pada hari pengundian, tetapi kesannya amat besar terhadap masa depan sesebuah negara dan umat. Ia mampu menentukan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan, atau keamanan dan kekacauan sebuah masyarakat.

Sebab itu dalam membuat pemilihan calon sama ada kita pemimpin atasan yang membuat penentuan nama-nama yang bakal bertanding atau rakyat bawahan yang akan mengundi, maka hadis berikut patut direnungi: sabda Nabi s.a.w “Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai ALLAH, padahal dia tidak menyangka ianya akan sampai ke tahap sedemikian, lalu dengannya ALLAH mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian, lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. (Riwayat Malik dalam Muwata`). Demikianlah pemilihan dan pengundian, walaupun bukan ucapan lisan, tetapi ianya ucapan bertulis yang membawa kesan yang teramat besar.

Kita begitu gembira apabila media-media kita melapor hasrat kepimpinan pertubuhan-pertubuhan politik untuk memastikan agar calon-calon yang diletakkan berkualiti. Kita harap itu semua menjadi kenyataan, bukan sekadar slogan. Ya, rakyat juga sudah ramai yang bijak dan mula tahu menilai. Bukan masa lagi sekadar untuk berbangga dengan jenama parti, sedangkan wakil atau pemimpin yang dilantik tidak mempunyai kualiti yang mampu memastikan survival umat.

Kualiti sesorang calon bukan sekadar dilihat pada daerah, atau negeri atau umur atau latar pendidikan semata, ‘muka lama’ atau ‘muka baru’. Sebaliknya, seperti yang selalu saya sebutkan hendaklah berteraskan al-Quwwah dan al-Amanah seperti yang diajar oleh al-Quran. Al-Quwwah bermaksud kekuatan yang mewakili kemampuan atau kemahiran atau kecekapan melaksanakan tugas. Sementara al-Amanah adalah nilai taqwa atau amanah dalam diri yang memastikan dia tidak akan mungkir terhadap janji dan menyeleweng dari tanggungjawab yang diberikan. Ini seperti yang Allah firmankan (maksudnya): “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas: 26).

Apabila perwakilan Najran datang bertemu Nabi s.a.w dan meminta baginda menghantar wakil baginda hanya yang amanah yang dapat membimbing mereka. Maka Nabi s.a.w bersabda: “Aku akan mengutuskan bersama kamu seorang lelaki yang amanah, bahkan benar-benar amanah. Maka para sahabat Nabi s.a.w pun tertunggu-tunggu siapakah yang dipilih. Lalu baginda bersabda: “Bangunlah! Wahai Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah”. Lalu Abu ‘Ubaidah pun bangun dan baginda pun bersabda: “Inilah orang yang amanah bagi umat ini” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ya, Abu ‘Ubaidah ialah seorang yang terkenal dalam rekodnya sebagai insan muslim mukmin yang bertegas kepada prinsip dan mengenepikan segala kepentingan diri. Dengan rekod itu, dia dicatat dengan ukiran kegemilangan ketika dia dilantik menjadi gabenor pada zaman pemerintahan ‘Umar bin al-Khattab. Hidup dalam penuh kezuhudan dan menyebarkan keadilan untuk rakyat.

Saya kira, saya boleh mewakili suara rakyat jelata -pada umumnya- dalam hal ini; bahawa kita meminta kepada kepimpinan politik agar mengutuskan atau mencalonkan mereka yang bakal memimpin rakyat ini hanyalah yang amanah. Hanya yang insaf bahawa dia akan dipersoalkan pada hari kiamat kelak tentang tanggungjawab yang akan diserahkan kepadanya.

Sabda Nabi s.a.w.: “Tidak ada seorang pemimpin yang menguruskan urusan orang Islam, lalu dia tidak bersungguh-sungguh (menunai amanah) dan tidak menasihati mereka, maka dia tidak akan masuk syurga bersama mereka” (Riwayat Muslim).

Dalam riwayat yang lain baginda: “Tiada seorang pemimpin pun yang mengendalikan urusan rakyatnya dari kaum muslimin kemudian dia mati dalam keadaan dia menipu mereka melainkan Allah haramkan baginya syurga” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kita tidak meminta ustaz atau syeikh sebagai calon. Ini kerana belum tentu gelaran-gelaran itu menjamin mereka mampu menunaikan amanah. Amanah adalah sikap dan keperibadian yang dapat dilihat dalam kehidupan insan, bukan pada gelaran dan panggilan. Justeru, permintaan kita mengatasi nama dan gelaran tetapi ciri dan kewibawaan.

Saya tidak mahu mempersoalkan ‘muka lama’ atau ‘muka baru’. Kepimpinan bukan macam jamuan makanan yang sekali sekala kita ingin bertukar selera. Bukan tom yam atau sup atau mee bandung. Kepimpinan soal keadilan dan kemampuan menunaikan amanah yang diberikan tanpa penyelewengan.

Jika ‘muka lama’ terbukti mampu membela rakyat bawahan, fakir miskin, menyebarkan kebaikan, menghidupkan suasana yang membawa keredhaan Allah dan RasulNya, memajukan minda dan harta, menunaikan tuntutan dunia dan akhirat maka dia layak meneruskannya. Apa ertinya pula ‘muka baru’ jika dari awal sudah ada potensi negatif.

Namun jika ‘muka lama’ terbukti menyeleweng, tidak amanah, mementingkan diri, melupai tanggungjawab yang diberikan, maka inilah peluang untuk dibarukan ‘muka’ seperti itu. Firman Allah: (maksudnya) “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).

Sesiapa yang miliki ciri-ciri yang menjadikan dilayak memegang kuasa, maka diberikan kepadanya tanpa bertanya muka lama atau baru. Para al-Khulafak al-Rasyidin memerintah sampai ke akhir hayat. Namun rakyat tetap menangisi hari kematian mereka sebagai tanda khidmat mereka masih diperlukan. Malangnya di kalangan kita hari ini kadang kala baru berkhidmat beberapa bulan, rakyat menangis kerana khidmat mereka mengundang kesusahan.

Soal kelayakan, kepakaran dan kecerdikan memang penting bahkan teramat penting. Namun jika tidak diiringi dengan perasaan gerun terhadap amanah jawatan yang diserahkan kepadanya, maka berbagai kerosakan dek kecerdikan boleh berlaku.

Kita sudah amat keletihan dengan berita-berita perbicaraan rasuah dan penyalahangunaan kuasa yang tidak habis-habis dalam media kita. Umat ini mempunyai tanggungjawab dan kerja yang banyak yang mesti disiapkan. Kita tidak ada cukup masa untuk melayan dan bertungkus-lumus dengan laporan-laporan yang seperti itu.

Misi-misi penting yang ingin dicapai oleh negara tidak akan tercapai jika kelancaran perjalanan kita sentiasa diganggu oleh tangan-tangan yang tidak amanah terhadap peruntukan kuasa yang diberikan kepadanya. Misi-misi penting dan besar negara yang kita laung-laung memerlukan tenaga yang berjiwa besar dan amanah.

Ramai sahabah Nabi s.a.w. yang handal di medan pertempuran. Namun baginda tidak membuat pemilihan secara sebarangan bagi misi-misi penting tertentu. Sebab itu dalam misi Peperangan Khaibar, Nabi s.a.w menyebut: “Aku akan utuskan seorang lelaki yang dia kasihkan Allah dan RasulNya, juga Allah dan RasulNya kasihkan dia. Dia bukan seorang yang akan lari dari medan”. Maka orang ramai pun ternanti-nanti, lalu dilantik ‘Ali dan diserahkan bendera kepadanya” (Riwayat Ibn Majah, sahih).

Pemilihan yang tepat dalam memastikan visi dan misi dapat ditunai adalah penting. Bukan semua yang memakai gelaran yang hebat seperti Professor atau Dr berkemampuan dalam siasah. Kewibawaan politik berbezaan antara seorang dengan seorang yang lain. Walaupun soal latar pendidikan itu penting tapi bukan semua yang berpendidikan tinggi itu berkemampuan dalam politik.

Lebih dukacita lagi jika pemilihan dibuat atas simpati hubungan keluarga atau persahabatan semata. Bukan lagi ciri kelayakan dan kewibawaan. Seperti mana yang kita tahu bahawa Nabi s.a.w sayangkan Abu Zar r.a. seorang sahabat baginda yang begitu soleh. Namun apabila Abu Zar meminta jawatan, baginda bersabda: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim”. (Riwayat Muslim).

Lemah Abu Zar bukannya lemah iman, tetapi lemah ciri-ciri kepimpinan. Kalaulah Nabi s.a.w yang sayangkan Abu Zar tidak melantiknya kerana ciri-ciri yang tidak dimilikinya, apakah kita akan melantik sahabat handai dan kaum keluarga kita sekalipun tidak layak?. Kita mengkhianati amanah.

Seperti yang pernah saya sebutkan, kita ketandusan tokoh-tokoh kepimpinan yang dapat menonjolkan idealisme yang mampu membimbing rakyat sehingga perasaan rakyat begitu terikat dengan perjuangan kepimpinan. Setia tanpa mengharapkan habuan, menyokong dan mendokong cita-cita tanpa mengharapkan ganjaran.

Hal ini tidak boleh berlaku melainkan lahirnya tokoh-tokoh kepimpinan yang dikagumi keperibadiannya dan dirasai keikhlasan. Jelas pula hala perjuangan dan perlaksanaannya. Wajah kepimpinannya bukan taburan harta, tetapi kematangan minda yang mampu menjadikan harta berfungsi dengan saksama dan cemerlang. Slogan-slogan yang dilaungkan bukan lagi sekadar retorik, sebaliknya penghayatan yang dibuktikan ia bermula dengan dirinya sendiri. Jika sekadar menjanji, ramai yang boleh janji berbagai perkara.

Saya salah seorang dari rakyat biasa yang bukan ahli politik sedang melihat berbagai gelagat orang berbagai parti. Ada yang lucu, ada jelas bohongnya, ada yang hasad, ada lebih lajak dari laju, ada mempergunakan nama agama, atau bangsa untuk kepentingan kempen dan berbagai.

Dari gaya kempen, dapat dikenali watak calon dan partinya. Namun yang perlu diingatkan, pilihanraya bukan musim menghalalkan yang haram sehingga seseorang merasa dia boleh berbohong, atau memaki-hamun, menjatuhkan maruah, mencerca orang tanpa batasan syarak, atau menyalahgunakan apa yang dimilikinya dan seumpamanya.

Sabda Nabi s.a.w: “Bukan seorang mukmin itu pencerca, atau pelaknat, orang yang bercakap keji dan kesat” (Riwayat al-Tirmizi, sahih). Jika itulah gelagat buruk sebelum mendapat jawatan, saya cadangkan kita jangan beri undi kepada manusia jenis ini. Itu adalah kedangkalan dan kerendahan budi yang tidak tahu bagaimana mengalurkan buah fikiran secara matang.
www.tips-fb.com

Friday, February 15, 2008

"FAKTA" ATAU "AUTA"????

BENARKAH SAIDINA UMAR MEMBUNUH ANAKNYA??
Saringan oleh www.darulkautsar.com dari artikel asal oleh Maulana Muhammad Asri Yusoff

Terdapat beberapa buah buku yang tersebar meluas dalam masyarakat yang menceritakan kisah Sayyidina Umar r.a. kononnya telah membunuh seorang anak perempuan dan menanamnya hidup-hidup, seperti sebuah buku berjudul “Sepuluh Sahabat Dijamin Ahli Syurga” oleh Muhammad Ali Quthub, terbitan Pustaka Nasional Pte. Ltd (1984), m.s. 50-51. Dua artikel berkenaan cerita ini telah disiarkan dalam akhbar Harakah. Satunya disiarkan sebagai bahan bacaan untuk kanak-kanak di ruangan BESTARI (Harakah, 18 Disember 1998) dan satu lagi artikel hasil penyelidikan satu kumpulan yang memakai nama ILHAM ( Harakah, 30 Nov 1998) . Kedua-duanya mengandungi cerita yang sama dengan sedikit perbezaan ibaratnya.

Jika cerita seperti itu disiarkan oleh musuh Islam, tentu sekali tiada maksud lain bagi mereka melainkan untuk memburuk-burukkan imej Sayyidina Umar r.a. yang merupakan sahabat karib Rasulullah s.a.w. dan khalifah agung umat Islam.

Jika cerita seperti ini disebarkan oleh mereka dari kalangan Ahli Sunnah wal-Jamaah, pada pandangan penulis, ada dua kemungkinan yang mendorong mereka untuk menyebarkannya.

Pertama, kerana jahil dan kedua, adalah kerana menganggap kisah ini berlaku sewaktu Sayyidina Umar r.a. berada di zaman jahiliah.


Apa yang peliknya andaikata semasa zaman jahiliah itu, Sayyidina Umar r.a. telah melakukan demikian! Selain dari itu bukankah ini menunjukkan kehebatan Islam dengan kemampuannya yang luar biasa dalam mengubah dan membentuk peribadi manusia sehingga manusia yang sekejam Sayyidina Umar r.a. itu pun telah menjadi sebaik-baik manusia malah pemimpin Islam contoh untuk umat Islam kemudian apabila memeluk Islam?

Bagi penulis, tidak timbul soal kehebatan Islam dalam mengubah kehidupan manusia kerana telah pun terbukti melalui banyak riwayat-riwayat yang sahih tetapi bagaimana dengan cerita kekejaman Sayyidina Umar r.a. ini? Apakah kedudukannya? Adakah ia memang berasas atau hanya dongeng dan cerita rekaan semata-mata?

Alangkah berguna kepada para pembaca sekiranya penulis-penulis buku dan artikel-artikel ini mengemukakan tempat rujukan kisah ini supaya amanah ilmiah yang mereka bawakan kepada orang ramai itu disampaikan dengan penuh tanggungjawab.

Kisah ini tidak akan dapat ditemui dan dikesan walaupun bayangnya di dalam kitab-kitab hadis atau kitab-kitab sejarah yang muktabar! Tentu sekali ianya direka oleh musuh Islam tetapi sungguh malang sekali apabila kita sebagai umat Islam menerima apa saja yang disogokkan dalam cerita atau kisah-kisah sahabat padahal Rasulullah s.a.w. telah pun bersabda yang bermaksud, “Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila ia menceritakan apa sahaja yang didengarnya.” ( Hadis Riwayat Muslim)

Tujuan penulis mengkaji semula dan membetulkan artikel-artikel ini tidak lain adalah untuk memelihara kesucian sejarah hidup Rasulullah s.a.w. Juga untuk memberi peringatan kepada umat Islam umumnya, pendakwah-pendakwah, penulis-penulis dan guru-guru agama khususnya supaya berhati-hati apabila membawa sesuatu kisah berhubung dengan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. kerana mereka adalah cermin agama Islam.


Supaya lebih jelas kepada para pembaca, penulis putarkan kembali bahagian terpenting daripada kisah Sayyidina Umar r.a. menanam hidup-hidup anak perempuannya (sebagaimana yang disebarkan dalam akhbar sebagaimana di atas).

Begini ceritanya…..

“...Umar memejamkan mata. Anak itu ditendangnya masuk ke dalam lubang yang digalinya. Ia menangis. Umar tidak menghiraukannya….Umar menutupkan mata dan terfikir, “ Oh! Anakku yang manis dan pintar. Mengapa kau dilahirkan sebagai perempuan?” Ia menangis. Tangannya gementar, tubuhnya menggigil. “ Umar, jangan jadi pengecut,” Tiba-tiba suara itu terdengar berulang kali ditelinganya. Lalu sambil menahan kesedihannya, Umar meneruskan lagi menimbun pasir ke lubang tadi, sehinggalah anaknya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir.


Kisah ini selain tidak terdapat di dalam kitab-kitab sahih dan muktabar, ia juga bercanggah dengan kaedah dirayah yang dipakai oleh ulamak Islam dalam menilai sesuatu cerita.


Di antara alasan yang boleh dikemukakan ialah:


1) Tidak ada satu pun riwayat yang boleh dipertanggungjawabkan membuktikan seorang pun daripada kabilah Quraisy menanam anaknya hidup-hidup, apatah lagi untuk membuktikan Sayyidina Umar r.a membunuh anak perempuannya.


2) Adat menanam anak perempuan hidup-hidup berlaku di kalangan setengah-setengah kabilah Bani Tamim dan Asad yang bimbangkan kepapaan menimpa mereka kerana anak-anak itu. (Muhammad Tayyib dan Najjar di dalam kitab Al-Qabasu AL-Waddah’, muka surat 78 Zakaria Basyir dalam Meccan Crucible, muka surat 24). Sebagaimana adanya riwayat menyebutkan Qais bin Hasyim seorang pemimpin kabilah Bani Tamim yang kemudiannya memeluk Islam, telah mengaku menanam hidup-hidup 8 orang anak perempuannya di zaman Jahiliah.


Disana terdapat juga riwayat menyebutkan seorang pemimpin dari kalangan Bani Tamim juga telah menyelamatkan ramai anak perempuan daripada dibunuh oleh ibu bapa mereka kerana takutkan kepapaan dengan membeli anak-anak perempuan. Di antara pemimpin yang menonjol dalam usaha membasmi adat keji ini ialah Sa’sa’ah bin Naajiah, datuk kepada Al-Farazdaq seorang penyair Arab yang terkenal dan Zaid bin Amar bin Nufail.

Sa’sa’ah telah membeli anak perempuan daripada kedua ibu bapanya kemudian memelihara mereka hingga dewasa. Bilangan anak-anak perempuan yang dipeliharanya ialah 360 orang ( At Thabarani dalam Al Mu’jamu’ Al Kabir, jilid 8 m.s. 77). Sementara Zaid bin Amar bin Nufail pula tidak terpengaruh dengan masyarakat sekeliling yang menyengutukan Allah s.w.t dengan sesuatu yang lain malah beliau mencari-cari kebenaran dan sedapat mungkin cuba mengesan serta mengamalkan saki baki peninggalan agama Nabi Ibrahim. Beliau juga membeli anak-anak perempuan daripada ibubapanya lalu memelihara mereka hingga dewasa. Kemudian dia akan membawa anak-anak perempuan itu kepada kedua ibubapanya lalu berkata kepada mereka , “ Jika kamu suka kepada anak perempuan kamu ini, kamu boleh mengambilnya atau kalau kamu tidak mahu kepada anak perempuan kamu ini biarlah anak-anak perempuan ini bersama saya.” ( Bukhari, jilid 1 , m.s. 540)

Zaid bin Amar bin Nufail bukan sahaja keluarga Sayyidina Umar r.a malah beliau adalah sepupu Sayyidina Umar r.a. Adik perempuan Sayyidina Umar r.a menjadi isteri kepada anaknya Sa’id dan anak perempuan Zaid pula menjadi isteri Sayyidina Umar r.a. sendiri.


Takkanlah keluarga yang terkenal dalam usaha-usaha suci menyelamatkan anak-anak perempuan daripada dibunuh oleh ibubapa mereka, tiba-tiba seorang yang sangat menonjol dan yang terpenting daripada mereka sendiri melakukan perbuatan terkutuk ini dengan membunuh anaknya sendiri.


3) Setelah Mekah dibuka, Rasulullah SAW. Berbai’ah dengan perempuan-perempuan mukmin. Diantara ucapan baginda SAW ialah:

“ Kamu tidak lagi akan membunuh anak-anak kamu.”

Hindun tiba-tiba berkata, “Kami memelihara mereka semasa kecil, apabila besar kamu pula yang membunuhnya.”

Peristiwa itu tercatat di dalam kitab-kitab hadis dan kitab-kitab sirah dengan jelas dan terperinci. Kata-kata Hindun ini menunjukkan kabilah Quraisy tidak terlibat dengan adat yang keji ini. Sabda Rasullullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim juga membuktikan bahawa kabilah Quraisy tidak terlibat dalam pembunuhan anak-anak perempuan iaitu, Sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud,

“ Sebaik-baik perempuan Arab ialah perempuan Quraisy. Mereka sangat penyayang terhadap anak-anak yatim sewaktu kecilnya dan mereka paling menjaga kedudukan dan harta benda suaminya”.


Apa ertinya pujian Nabi s.a.w terhadap sifat penyayang mereka terhadap anak-anaknya sekiranya mereka juga seperti kabilah-kabilah lain yang terlibat dengan adat membunuh anak-anaknya?

Anak-anak Sayyidina Umar r.a yang lahir sebelum Islam semuanya hidup. Mereka ialah Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman.



4) Dalam tradisi Arab, seorang yang dikurniakan dengan anak sulungnya seperti Kuniah Nabi kita s.a.w ialah Abu Qasim, Kuniah Sayyidina Umar r.a ialah Abu Hafsin merujuk kepada Hafsah, anak perempuannya. Ini menunjukkan anak perempuan Sayyidina Umar r.a. yang sulung ialah Sayyidatina Hafsah.


5) Perlu juga diperhatikan bahawa disepanjang hayatnya, berapa ramaikah isteri Sayyidina Umar r.a dan juga hamba sahayanya di samping anak daripada mereka itu?

Kerana sejarah menyimpan semua maklumat isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina Umar r.a Imam Ibn Jauzi dan lain-lain menyenaraikan isteri-isteri Sayyidina Umar r.a. dan anak-anaknya di samping hamba sahayanya. Beliau menulis, “Sayyidina Umar r.a mempunyai beberapa orang isteri dan mendapat ramai anak.” Isteri beliau ialah:



I) Zainab bt Maz’un


Zainab adalah saudara perempuan Uthman b. Maz’un yang terbilang di antara orang yang memeluk Islam di peringkat permulaan dan saudara sesusu dengan Nabi s.a.w. Dengan Zainab ini Sayyidina Umar r.a telah mendapat tiga orang anak iaitu Hafsah, Abdullah dan Abdul Rahman.


ii) Atikah bt Zaid b. Amar b. Nufail

Daripadanya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Iyadh

iii) Isteri yang ketiga ialah Jamilah bt Tsabit b. Aflah

Daripadanya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Aasim

iv) Ummul Hakkam bt Al-Harith b. Hisham

Daripadanya beliau mendapat anak perempuan bernama Fatimah.

v) Ummul Kulthum bt Jarwal b. Malik

Daripadanya beliau mendapat dua orang anak perempuan bernama Ubaidullah dan Zaid Al Akbar

vi) Ummul Kulthum bt Ali b. Abi Talib

Daripadanya beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid Al Asghrar dan Ruqayyah.

vii) Daripada hamba sahayanya yang bernama Fukayyah dan

Luhayyah juga Sayyidina r.a telah mendapat anak. Daripada Fukayyah dia mendapat anak perempuan bernama Zainab dan daripada Luhayyah beliau mendapat anak bernama Abdul Rahman Al Autsar dan Abdul Rahman Al Asghrar.

Jadi, anak-anak Sayyidina Umar r.a adalah seperti berikut:


LELAKI :

1) Abdullah
2) Abdul Rahman Al Akbar
3) Abdul Rahman Al Autsar
4) Abdul Rahman Al Asghrar
5) Zaid Al Akbar
6) Zaid Al Asghrar
7) Ubaidullah
8) ‘Aasim
9) ‘iyadh


PEREMPUAN:

1) Hafsah
2) Ruqayyah
3) Fatimah
4) Zainab

Daripada isteri pertamanya Zainab bt Maz’un, Sayyidina Umar r.a mendapat tiga orang anak iaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah b. Umar dan Abdul Rahman Al Akbar.Hafsah adalah anak sulungnya daripada Zainab bt Maz’un, sebab itulah beliau dikurniakan dengan Abu Hafsin.

Pada ketika beliau memeluk islam, beliau mempunyai hanya tiga orang anak ini sahaja. Kalau begitu anak yang manakah ditanam hidup-hidup oleh Sayyidina Umar r.a? Apakah namanya dan apakah nama ibunya? Kalaulah Sayyidina Umar r.a betul-betul bencikan atau tidak suka kepada anak perempuan, kenapa pula dia memakai kuniah Abu Hafsin?

Selain daripada alasan yang disebutkan tadi, adakah logic Sayyidina Umar r.a baru mengetahui identity anaknya samada lelaki atau perempuan setelah anak itu berumur 4 tahun?

Mungkin juga orang yang mula-mula menyebarkan kisah ini terkeliru dengan riwayat Wadhin yang dikemukakan oleh imam Daarini di dalam sunnahnya,atau mungkin ia pura-pura terkeliru.


Riwayat itu menyebutkan bahawa ada seorang lelaki mengadap Rasulullah Saw lalu berkata, “wahai Rasulullah! Kami dahulu orang-orang Jahiliah,kami menyembah berhala dan membunuh anak-anak. Saya pernah mempunyai seorang anak perempuan.Bila saya memanggilnya dia berlari-lari datang kepada saya dan sangat ceria. Pada suatu hari saya memanggilnya dan ia terus mengekori saya. Berdekatan dengan tempat itu ada satu telaga, saya memegang tangannya dan menolaknya masuk ke dalam telaga. Ucapan terakhir yang terkeluar dari mulutnua ialah “ ayah!”

Mendengar ceritanya itu Nabi saw menangis. Orang-orang yang ada berdekatan dengan Nabi saw berkata kepada orang itu, “ kamu betul-betul telah menyedihkan Rasulullah saw.” Nabi bersabda, “orang ini datang bertanyakan sesuatu yang lebih dari itu,” seraya baginda Rasulullah saw berkata kepada orang itu, “ceritakan sekali lagi kisah itu” orang itu pun mengulangi sekali lagi kisah itu sehingga Rasulullah saw menangis sehinnga basah janggutnya.

Kemudian Nabi saw bersabda, “perkara-perkara yang telah dilakukan oleh mereka di zaman jahiliah telah dihapuskan oleh Allah swt dengan masuknya mereka ke dalam Islam. Sekarang mulakan amalan-amalan yang lain” ( sunnah Daarini,jilid 1. ms 3)

Ini adalah satu kisah seorang yang tidak diketahui siapa orangnya,apa namanya? Mungkin orang-orang yang mempunyai maksud jahat mengaitkan cerita ini dengan Sayyidina Umar r.a. padahal cerita inipun jika ditimbang dengan neraca ilmu riwayat juga tidak disabitkan kerana Wadhin merupakan perawi teratas, lahir pada tahun 80H dan wafat pada 149 H,sedangkan dia tidak pula menceritakan perawi lain lain diatasnya. Tidak mungkin dia telah mendengar sendiri kisah ini 80 tahun sebelum kelahirannya!

Dalam istilah ilmu hadis, riwayat seperti ini dinamakan riwayat munqati’, kerana perawi diatasnya tidak disebutkan. Selain itu Wadhin itu sendiri adalah seorang yang dipertikaikan oleh ulamak Rijal Hadits tentangnya. Imam Bukhari,Muslim dan Nasa’I tidak mahu menerima riwayatnya. Ibnu Saad berkata, “ dia seorang yang daif.” Abu Hatim berkata, “ sesetengah riwayatnya baik tetapi setengah yang lain sangat buruk.” Jauzajani berkata, “riwayat-riwayatnya adalah lemah” ( Mizan Al I’tidal, jilid 4. ms 336). Hafidz Ibnu Hajar menulis bahawa, “ingatannya sangat teruk”.

Bila riwayat itu sendiri tidak tahan diuji, di samping orang yang berkenaan tidak disebutkan dengan jelas namanya kenapa pula ada orang yang pandai-pandai mengaitkannya dengan Sayyididina Umar r.a.? Tentu sekali perbuatan seperti ini tidak pernah dilakukan kecuali oleh musuh-musuh Islam.
www.tips-fb.com

Friday, February 1, 2008

PANTUN MALAS SEMBAHYANG..


Apasal la engkau malas sembahyang,
Tuhan kasi engkau jasad siap dengan bayang-bayang,
Bukan ke lebih berubtung daripada tiang,
Berdiri tanpa roh malam siang……..

Apasal la engkau malas sembahyang,
Kerja dah best keluarga pun dah senang,
Negara pun dah aman tidak lagi hidup berdagang,
Takkan lima minit lima waktu kau tak boleh luang……….

Apasal la engkau malas sembahyang,
Tuhan kasi otak supaya engkau tak bengang,
Tuhan kasi ilmu berfikir susah senang,
Tuhan kasi nikmat kenapa engkau tak kenang???????

Kenapa la engkau malas sembahyang,
Main bola engkau sanggup sampai petang,
Beli tiket engkau sanggup beratur panjang,
Apa engkau ingat masuk syurga boleh hutang??????????????

Apasal la engkau malas sembahyang,
Engkau kena ingat umur kita bukannya panjang,
Pagi kita sihat, petang boleh kejang,
Nanti dalam kubur kena balun sorang-sorang………..

Apasal la engkau malas sembahyang,
Siksa neraka cubalah engkau bayang,
Perjalanan akhirat memanglah terlalu panjang,
Janji Allah Taala akan tertunai tak siapa boleh halang!!!!!!!!!!!

Ingatlah wahai rakan dan taulan,
Sematkan kata-kata ini di hati wahai kawan,
Fikirkan sejenak pada orang-orang tua berpesan,
Sembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan……..

www.tips-fb.com

Dari Mana Mereka?

free counters

Template by:
Free Blog Templates