Mari Mengenal Imam Bukhari!!

Imam al-Bukhari atau nama sebenarnya Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardazabah atau dikatakan bin Yazdabah. Sesetengah orang menggelarnya Ibnul Ahnaf, Abu Abdullah bin Abil Hasan al-Bukhari al-Hafiz. Imam al-Bukhari termasuk salah seorang daripada enam pengumpul dan penyusun kitab-kitab hadis yang terkenal dalam dunia Islam iaitu Muslim,Ibn Majah,Tirmizi,Abu Daud dan Nasaie, yang mana kitab-kitab mereka dikenali sebagai Kutub as-Sitttah . Beliau dilahirkan pada hari jumaat 13 hari bulan Syawal 194H. Bapanya meninggal dunia semasa beliau masih kecil dan Imam Bukhari membesar dan tumbuh di bawah asuhan ibunya. Beliau meninggal pada hari Sabtu, 1 hari bulan Syawal 256H iaitu ketika beliau berumur 62 tahun setelah meninggalkan jasa yang cukup besar kepada Islam dan umat Islam yang berguna sehingga hari kiamat.
Imam al-Bukhari adalah seorang yang telah terkenal akan kehebatannnya dalam hadis, sehinggakan apabila sesebuah hadis itu disebut sebagai "riwayat al-Bukhari" maka ia memberi tanda kekuatan seolah-olah hadis itu tidak perlu disemak lagi akan kesahihannya. Bukanlah kita mengatakan bahawa al-Bukhari maksum, akan tetapi setelah dikaji zaman-berzaman, sejak kitab sahih Bukhari ini ditunjukkan kepada guru-guru Imam Bukhari seperti Yahya ibn Mai'n, Imam Ahmad ibn Hanbal dan imam-imam lainnya, mereka telah menyokong penuh akan kesahihan hadis-hadis dalam kitab sahihnya kecuali beberapa hadis yang tidak sepakati akan darjatnya. Ini bermakna majoriti hadis-hadis dalam kitab Sahih Bukhari telah diakui kesahihannya sejak zaman ia ditulis sehingga Imam Bukhari meninggal, malah telah cuba dibincang semula setelah Imam Bukhari meninggal.
Contohnya, Imam ad-Daruquthni pernah cuba membincang dan menyemak semula kesahihan hadis-hadis dalam kitab Sahih Bukhari, walaupun terdapat beberapa hadis dalam Sahih Bukhari yang dibincangkan dan diragui akan darjat kesahihanya, namun setelah dilihat dari segi hujah, didapati hujah-hujah Imam Bukhari dalam mensahihkan hadis-hadis dalam kitab sahihnya adalah lebih kuat. Secara ringkasnya, semua hadis-hadis dalam kitab Sahih Bukhari telah diakui akan kesahihannya oleh para muhaddith sezaman dengannya, ataupun setelah al-Bukhari meninggal dunia. Selain itu, beliau hanya memasukkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh golongan yang pertama sahaja dan meninggalkan riwayat golongan yang lain, serta meletakkan syarat-syarat yang ketat untuk mensahihkan hadis-hadis dalam kitab sahihnya. Oleh sebab ketelitian beliau inilah, maka kitab Sahih Bukhari ini menjadi rujukan utama dalam senarai kitab-kitab hadis dalam dunia Islam.
Imam Bukhari adalah seorang yang bukan berbangsa Arab, malah jika diteliti dari segi tempat lahir akan keenam-enam Imam penyusun Kutub al-Sittah akan didapati mereka semua adalah bukan berketurunan Arab, kecuali Imam Muslim yang mempunyai asal-usul talian dengan bangsa Quraish Arab. Tetapi secara ringkasnya, mereka semua adalah bukan berketurunan Arab, dan ini semua memberikan petanda kepada kita bahawa Agama Islam ini dipelihara oleh bangsa Arab dan bukan Arab. Oleh itu, adalah tidak mustahil untuk sesiapa sahaja samada Arab atau tidak untuk mendalami dan menguasai bidang hadis,asal mempunyai minat dan usaha yang bersungguh-sungguh.
Bukan menjadi tujuan dalam penulisan ini untuk menyanjung Imam Bukhari semata-mata, ini adalah kerana beliau tidak memerlukan apa-apa sanjungan lagi daripada kita. Malah, sebarang pujian atau kritikan terhadap beliau tidak akan menjejaskan sedikitpun kedudukan Imam Bukhari pada mata dunia Islam, yang pasti beliau telah meninggal dunia dan meninggalkan kepada kita bukti keilmuan yang hebat, pujian-pujian para ulama, hasil karya yang bermutu tinggi dan disanjung para ulama dulu sehingga kini. Apa yang perlu dan lebih penting untuk dilakukan oleh kita adalah bukan mengkagumi dan menyanjung beliau semata-mata, akan tetapi adalah menjadi kewajipan kita melihat dan mengambil contoh akhlak dan sifat beliau untuk kita praktikkan pada diri kita dan umat Islam. Ramai antara kita di Malaysia suka memuji dan menyanjung kehebatan ulama-ulama silam, akan tetapi malangnya amat sedikit yang berusaha mengambil langkah lebih kehadapan dengan mengikuti jejak langkah mereka, sehingga pujian hanya tinggal pujian tanpa hasil kepada umat.Akhirnya, kita hanya menyanjung ulama-lama silam tanpa melahirkan pengganti mereka. Tujuan penulisan ini dibuat adalah untuk kita melihat kepada sifat Imam al-Bukhari, dan yang lebih penting adalah melihat apakah sifat-sifat dan ciri-ciri al-Bukhari yg dapat kita contohi dan praktikkan dalam hidup kita, terutamanya kepada mereka-mereka yang ingin mendalami ilmu-ilmu Islam. Walaubagaimanapun, kita akan lebih menfokuskan kepada akhlak dan sifat Imam Bukhari dalam kajian Hadis.
Para ulama bersepakat bahawa Imam Bukhari adalah salah seorang ahli fiqh dan pakar ijtihad. Ahmad bin Sayar berkata dalam kitab Tarikh al-Marwi: "Muhammad bin Ismail adalah seorang yang suka mencari ilmu, mempergauli orang ramai, berkelana mencari hadis, memiliki ingatan yang kuat, dan seorang pakar fiqh". Sehinggakan Muhammad al-Masandi berkata: "Muhammad bin Ismail adalah seorang imam atau ikutan, maka barang siapa yang tidak menjadikannya imam tercelalah orang tersebut". Selain itu beliau juga merupakan seorang yang zuhud, tawadduk, waraq dan seorang yang soleh.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Penulis menghasilkan penulisan ini berdasarkan rakaman audio Mp3 kuliah guru penulis iaitu Ustaz Adlan bin Abdul Aziz, bertajuk "Rahsia al-Bukhari" di IIUM Kuantan,Pahang. Selain itu penulis turut menambah beberapa isi dari buku "Biografi Ulamak-Ulamak Hadith" oleh Prof. Madya DR. Ariffin bin Omar dan H.M Yusuf Sinaga L.c, terbitan Jahabersa 2005

Kutub al-Sittah, atau buku-buku yang enam iaitu sunan Tirmizi,sunan Ibn Majah, sunan Nasaie,sunan Abu Daud,sahih Bukhari dan sahih Muslim. Sesetengah memanggil kitab-kitab ini sebagai al-Usul al-Sittah dan as-Sihah al-Sittah. Digelar Usul al-Sittah adalah kerana kitab-kitab ini telah menjadi pokok dalil bagi Umat Islam seluruhnya,biasanya kita tidak akan terlepas daripada enam kitab ini dalam sumber dalil fiqh. Walaubagaimanapun,nama as-Sahih al-Sittah adalah tidak digalakkan kerana ia memberi gambaran yang kurang tepat seolah-olah keenam-enam kitab ini semuanya mengandungi hadis-hadis yang sahih, sedangkan bukan semuanya sahih. Nama kutub al-Sittah adalah nama yang paling popular antara semuanya. Perlu diberi perhatian, sesetengah orang menggelar kitab-kitab ini sebagai Sunan al-Sittah, penamaan kitab-kitab ini sebagai Sunan al-Sittah adalah tidak tepat, kerana kitab Sunan yang popular hanyalah empat (iaitu sunan Ibn Majah, sunan Tirmizi, sunan Abu Daud, sunan Nasaie) dan dikenali sebagai sunan Arba'ah.

Yang dimaksudkan "riwayat Bukhari" disini adalah hadis-hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari dalam sahihnya, iaitu kitab sahih Bukahri, dan bukan selainnya. Selain kitab sahih Bukhari, Imam al-Bukhari juga menyusun sebuah kitab hadis lain yang terkenal selain sahih Bukhari iaitu kitab "al-Adab al-Mufrad". Dan hadis-hadis dalam kitab al-Adab al-Mufrad ini tidaklah kesemunya sahih, ini bukanlah pelik kerana tujuan Imam Bukhari menyusun kitab al-Adab al-Mufrad ialah untuk mengumpul sebanyak mungkin hadis-hadis berkaitan adab-adab tanpa menapis sahih atau tidak. Kitab al-Adab al-Mufrad ini telah ditahqiq dan ditakhrij hadis-hadisnya oleh al-a'lamah Muhammad Nasiruddin al-Albani

Sebenarnya nama Sahih Bukhari ini adalah ringkasan bagi judul asal karangan Imam Bukhari iaitu kitab "al-Jami' al-Sahih li Musnad min Hadis Rasulallah wa Ayyamihi". Disebabkan judul ini terlalu panjang, kitab ini lebih dikenali dengan judul yang lebih pendek iaitu Sahih Bukhari.Judul tersebut dipilih Imam Bukhari kerana mempunyai maknanya yang tersendiri. "Al-Jami'" bermaksud kumpulan lengkap hadis-hadis Rasulullah yang meliputi semua bidang keperluan hidup Umat Islam. "al-Sahih" pula bermaksud keseluruhan hadis yang terdapat di dalam karangan beliau adalah hadis-hadis yang sahih. Sementara "al-Musnad" pula bererti hadis-hadis beliau mempunyai sanad yang bersambung hingga kepada sahabat yang merawikan sesuatu hadis, ini tidak termasuk hadis-hadis yang diletakkan Imam Bukhari sebagai pendahuluan bab,matabik,pembentangan sahaja dan bukan sebagai asas yang dikehendaki dalam penulisannya, yang dikenali sebagai hadis Muallaq dalam Sahih Bukhari,dan hadis-hadis Muallaq ini telah dikaji akan darjatnya oleh Ibn Hajar dalam kitabnya Taghliq al-Ta'liq. Dan akhir sekali, perkataan "ayyamihi" bermaksud,hadis-hadis tersebut merupakan hadis yang disampaikan oleh Rasulullah SAW sepanjang hidup baginda. Imam Bukhari mengambil masa lebih kurang 16 tahun untuk menyiapkan kitab Sahihnya ini

Menurut Abu Ja'far al-U'qaili, hanya terdapat 4 hadis (daripada 7124 hadis) yang dipertikaikan kesahihannya oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Yahya ibn Main dan Ali ibn Madini. Kesalahan yang amat kecil ini menunjukkan kehebatan Imam Bukhari.

Comments

Popular posts from this blog

Hukum Bersalaman dan Aurat dengan Kakak/Abang Ipar

Terima kasih atau Jazakallah Khairan....

Hadith Dhaif Rasulullah Sentuh Aisyah ketika solat??