Cakap Orang Ramai Bukan Penentu Kebenaran

Kebenaran itu selalu menjadi mangsa apabila manusia menilainya hanya berdasar cakap atau pendapat orang semata. Maka betapa banyaknya fakta-fakta yang benar dalam sesebuah masyarakat ditolak hanya kerana ianya tidak digemari oleh cakap orang ramai. Entah berapa banyak pula fakta yang salah dan dusta ditelan oleh sesebuah masyarakat sebabkan ianya dipercayai oleh majoriti yang ada. Inilah nasib kebenaran atau al-haq jika pungutan suara atau desas-desus ramai dianggap sebagai kayu pengukur utama.

Demi sesungguhnya tidak! Kebenaran adalah kebenaran. Kebenaran dinilai dengan dalil dan alasan. Dalam dunia akademik ianya juga disebut ‘dengan angka dan fakta’. Jika dalilnya sahih dan alasannya benar atau angkanya betul dan faktanya tepat maka itulah kebenaran sekalipun orang ramai jahil mengenainya atau menolaknya.


Kejahilan manusia tidak boleh merubah hakikat kebenaran. Demikian pembohongan yang diterima ramai tidak boleh mengambil tempat kebenaran. Dalam Islam, dalil dan alasan atau fakta dan angka yang teragung adalah apa yang ditegaskan oleh Allah dan RasulNya. Sekalipun manusia menolaknya, atau tidak memperdulikannya. Jika kita mengubah prinsip ini dalam mengenali kebenaran seperti menjadikan suara ramai sebagai pengukur utama kebenaran, maka banyaklah kesilapan atau kesalahan, bahkan kesesatan akan dianggap kebenaran.

Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w menceritakan perihal hari kiamat yang ditunjukkan oleh Allah kepada baginda. Baginda menyebut: “Diperlihatkan kepadaku umat-umat manusia. Maka aku dapati ada nabi yang mempunyai seorang pengikut. Ada pula nabi yang mempunyai dua orang pengikut. Ada pula yang mempunyai beberapa orang pengikut. Ada juga nabi yang tidak mempunyai seorang pengikut pun…” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Demikianlah kadang-kala nasib kebenaran. Jikalau kebenaran itu hanya diukur dengan jumlah pengikut, tentu nabi-nabi tersebut tidak termasuk di kalangan orang yang benar disebabkan sedikitnya jumlah yang menyahut seruan mereka. Bahkan ada yang langsung tidak ada siapa yang sudi menerima dakwahnya. Bahkan ada nabi yang ditentang oleh kaum keluarganya sendiri; seperti Nabi Nuh a.s. dan Nabi Lut. Lebih dari itu Nabi Nuh a.s. telah melakukan gerakerja dakwahnya hampir seribu tahun, namun hanya sedikit yang sudi menerima.

Kisah dakwah Nabi Nuh a.s. dalam membawa bahtera kebenaran begitu payah dan susah melebihi bahtera sebenar yang dibinanya. Perjuangan yang baluti jerit payah dan kedukaan yang Allah rakamkan rintihan Nuh dalam Surah Nuh: (maksdunya) “Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman); maka seruanku itu tidak menambahkan mereka apa-apa selain daripada mereka melarikan diri (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada beriman) agar Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan jari ke dalam telinga mereka, dan berselubung dengan pakaian mereka, serta terus berdegil, dan sombong takbur dengan melampau. Kemudian aku telah seru mereka dengan terang-terang; selain dari itu, aku menyeru mereka secara terbuka, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan sembunyi” (Surah Nuh ayat: 5-9).

Jika kebenaran itu dinilai dengan sambutan orangramai semata, tentulah Nabi Nuh a.s tidak termasuk dalam golongan yang dianggap benar kerana majoriti masyarakatnya tidak bersetuju dan mengiktiraf dakwahnya bahkan mencercanya.

Demikian Nabi Muhammad s.a.w juga tidak boleh dianggap benar di peringkat Mekah, kerana kebanyakan penduduk Mekah menentang dan menuduh baginda ketika itu dengan berbagai tuduhan. Namun kebenaran itu bukan dinilai dengan keputusan orang ramai semata. Orang ramai boleh jadi mempunyai kepentingan, atau dipengaruhi taklid buta atau sentimen tertentu atau dipengaruhi oleh pihak yang lebih dominan.

Pemikiran yang menganggap kebenaran berdasarkan jumlah pengikut ditolak oleh al-Quran dalam banyak tempat. Antaranya Allah menyebut dalam Surah al-An’am. (maksudnya) Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.

Justeru itu, apabila kita ingin menilai sesuatu perkara sama ada benar ataupun salah hendaklah kita merujuk kepada alasan dan dalil yang dikemukakan. Buanglah dari kita pengaruh persekitaran yang sebahagiannya dek cakap atau pendapat yang tersebar luas tanpa bersertakan bukti dan dalil. Al-Quran juga meminta insan agar ketika berfikir tentang hakikat sesuatu kebenaran bebas dari pengaruh orang ramai yang tidak berteraskan hujah yang benar dan pemikiran yang betul.

Dalam Surah Saba ayat 46 Allah menyebut: Katakanlah: “Aku hanyalah menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu mengadap Allah (bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah), sama ada dengan cara berdua, atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikirlah (untuk mengetahui salah benarnya) sebenarnya tidak ada pada sahabat kamu ( Nabi Muhammad) sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); dia hanyalah seorang pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat)”

Berfikir secara matang adalah dengan berbincang dengan yang layak, atau berfikir sendirian secara mendalam tanpa dipengaruhi sentimen luaran atau pengaruh suara ramai. Inilah adalah jalan yang memboleh insan menemui kebenaran. Terbawa-bawa dengan arus orang ramai tanpa bersandarkan bukti dan dalil adalah punca kesesatan. Ini bukan bererti kita disuruh menolak atau tidak meraikan pendapat orang ramai. Bukanlah juga pendapat ramai itu semestinya salah. Jika pendapat ramai itu dibuktikan kebenarannya dengan dalil dan alasan, maka kita akan menerima. Bukan kerena ia pendapat ramai ramai, tetapi kerana alasan dan hujah yang dikemukakan.

Seseorang yang hidup dalam masyarakat Syiah umpamanya, akan mendapati masyarakatnya menyatakan para sahabah seperti Abu Bakr, Umar, Uthman, Abu Hurairah, Khalid al-Walid dan ramai lagi sebagai insan-insan jahat, khianat, rakus, zalim dan seumpamanya. Begitu juga yang hidup dalam masyarakat tarekat yang sesat akan dapati orang ramai mengagungkan syeikh yang menyimpang dari ajaran al-Quran dan Sunah.

Jika hidup hanya berteras cakap orang ramai dalam masyarakat, tanpa menyemak semula dakwaan itu tentulah seseorang akan tersesat dari jalan hidayah. Lebih mengelirukan lagi jika orang ramai itu termasuk juga mereka yang berpakaian yang dianggap perlambangan agama seperti jubah, serban dan janggut yang menawan.

Atau mereka yang memakai gelaran agama seperti ayatullah, atau ustaz atau mullah. Jika setiap pendapat atau pandangan atau hujah itu diukur dengan juban atau serban atau gelaran, atau lambang pertubuhan atau parti yang dikaitkan dengan agama maka hancurlah kebenaran dalam kehidupan manusia.

Sebab itu saya begitu kehairanan apabila ada pertubuhan atau individu yang memakai lebel Islam tetapi memekik secara terbuka ‘kami pejuang demokrasi tulen’. Apakah mereka tidak sedar bahawa dalam demokrasi tulen yang difahami oleh pejuangnya ’suara ramai mengatasi suara Tuhan’. Sedangkan dalam Islam suara ramai dihormati tetapi tidak boleh memadamkan hakikat kebenaran.

Jika demokrasi dalam acuan asalnya hendak dibawa ke negara ini, terpadamlah wajah agama ini keseluruhannya nanti. Demokrasi kita hendaklah tunduk kepada acuan Islam. Jika tidak suara ramai akan muncul sebagai tuhan baru dalam kehidupan.

Inilah yang cuba dilakukan oleh media Barat terhadap Islam. Mereka mandulkan fikiran manusia agar tidak perlu berfikir dan mengkaji sebaliknya menerima apa yang disuapkan oleh suara media yang mendominasi kehidupan moden sehingga wajah Islam diconteng begitu hodoh dengan berbagai tuduhan liar.

Namun masyarakat Barat istimewanya mereka adalah kerana ramai yang terlatih untuk mengetahui sesuatu hakikat itu dengan sendirinya tanpa mahu dipengaruhi. Maka ramailah orang Barat yang terus menganut Islam sekalipun suara terkuat di Barat memburukkan Islam.

Malangnya dalam masyarakat kita, ramai yang malas berfikir untuk menilai setiap perkara dengan fikirannya sendiri. Lebih suka bergantung kepada cerita orang lalu dipencenkan otak sendiri. Apa sahaja yang orang cakap ditelannya bulat-bulat, apatah lagi jika membabitkan berita-berita yang sensasi.

Seorang artis mengadu kepada saya tentang nasibnya yang dituduh mempunyai hubungan sulit dengan seorang ahli politik padahal cerita itu sama sekali tidak ada asasnya. Dia tidak pernah bertemu secara sendirian apatah lagi keluar ke mana-mana. Namun oleh kerana berita tersebut telah dihebahkan kepada awam dan setiap yang mendengar menelannya tanpa bukti maka mereka pun menjadi mangsa. Saya katakan kepadanya; kisah itu digemari oleh orang ramai kerana gabungan cerita antara artis dan ahli politik. Kedua-dua medan itu ramai penggemar sensasi dan hasad dengki. Orang ramai pula suka jadikan cerita-cerita yang seperti itu hidangan di waktu bertemu antara satu sama lain. Tuduhan jahat seperti itu lebih enak dari segala hidangan istimewa. Apalah yang hendaklah dihairankan, dalam kelompok agama pun ada yang sanggup menuduh orang ramai murtad sehingga ianya menjadi kepercayaan umum.

Sumber yang beginilah yang membawa cerita yang berbagai untuk menjatuhkan orang yang dibenci, atau yang bersaingan dengan dirinya atau kerana bertujuan mengangkat namanya sendiri. Saya pun pernah dituduhnya menampar seorang imam di Perlis lalu diterima berita itu oleh banyak pihak. Padahal jika mereka berfikir mana mungkin perkara seperti itu berlaku tanpa sebarang laporan media yang sentiasa menanti. Jika manusia menganggap apa yang disebut oleh masyarakat itu semuanya benar, maka tentulah masyarakat fasik juga berada atas kebenaran.

Saya pernah seorang yang memprotes dengan berkata; kenapa Perlis tidak mahu ikut al-Imam al-Syafi’i. Saya tanya dia: dalam bab apa? Kata dia: Imam Syafi’i suruh kita zikir kuat lepas solat, mengapa di Perlis macam Masjidil Haram dan Masjid Nabi, zikir perlahan dan sendirian sahaja. Saya tanya dia: Di mana al-Imam al-Syafi’i r.a memberitahu hal ini?. Dia beritahu saya: “Memanglah macam itu, semua orang cakap macam itu”. Saya kata kepadanya, sebelum membuat tuduhan melulu mari saya tunjukkan apa yang yang al-Imam al-Syafii cakap dalam kitabnya al-Umm, saya terjemahkan untuknya: “Pendapatku untuk imam dan makmum hendaklah mereka berzikir selepas selesai solat. Hendaklah mereka mensenyapkan zikir, kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya (bacaan-bacaan zikir-pen), maka ketika itu dijelaskan zikir. Sehingga apabila didapati telah dipelajari daripadanya. Maka selepas itu hendaklah dia perlahankan” (al-Syafi’i, Mausu‘at al-Imam al-Syafi’i: Al-Umm, 1/353 Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi). Lalu saya beritahu kepadanya: “berita atau cerita yang dikongsi ramai itu belum tentu benar. Manakala pendapat atau hukum yang putus oleh seorang tokoh pula, tidak ditelan bulat-bulat melainkan diteliti dengan timbangan ilmiah.

Demikianlah masyarakat selalu menuduh atau menfitnah orang lain atas dakwaan yang jika diteliti tidak mempunyai bukti melainkan ‘orang ramai cakap macam itu’. Padahal sebahagian dari khabar angin yang diterima ramai itu adalah dosa besar di sisi Allah. Ia ringan pada lidah kita, berat hukumannya di sisi Allah. Ketika isteri Nabi Ummul Mukminin ‘Aisyah r.a. difitnah dengan tuduhan zina dan berita itu disebarkan di kalangan orang ramai,

Allah menyebut dalam Surah al-Nur ayat 15: “(maksudnya) ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”.

Dalam dunia internet hari ini maruah dan harga diri manusia dijual dengan begitu murah. Seseorang yang berada di hadapan komputernya merasa begitu ringan tangan dengan menfitnah orang lain apa sahaja yang dia suka. Seakan mereka merasa dosa memfitnah orang melalui maya itu tidak akan dapat dikesan oleh Allah atau disoal pada hari hari kiamat kelak. Para pelayar internet pula ramai yang menerima khabar-khabar bohong itu lalu dijadikan bahan masyarakat awam untuk memburukkan orang lain. Lebih buruk lagi jika penyebaran fitnah itu ada yang menggunakan nama agama ini. Kononnya atas nama perjuangan Islam lalu dihalalkan apa yang diharamkan oleh al-Quran dan Sunah.

Sabda Nabi s.a.w. ketika haji terakhir baginda: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Lihat sebahagian laman web yang memakai slogan Islam, entah berapa ramai insan yang mereka cemari maruahnya hanya kerana tidak se’kapal dengan kumpulan, atau jamaah atau parti mereka. Makian, hamunan, cercaan, tuduh tanpa bukti seakan menjadi perkara yang halal di sisi agama yang kononnya mereka sedang pertahan dan tegakkan. Mereka ketika mengendalikan semua itu telah lupa untuk siapakah mereka berjuang? Jika untuk Allah dan rasulNya, adakah Allah dan rasulNya meredhai perbuatan tersebut? Atau adakah mereka ini seperti yang Allah sifatkan: (maksudnya) “Katakanlah: “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan mereka yang paling rugi amalannya? (Iaitu) mereka yang telah sia-sia kerja buatnya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka melakukan amalan yang baik”. (Surah al-Kahf: 103-104).

Mereka ini jika ditanya mengapakah awak menyebarkan berita tidak ada bukti yang diterima oleh syarak? Mereka akan menjawab dia itu musuh kami, kami pejuang Islam dan lagi pun ramai orang suka berita itu dan cakap di sana-sini. Maka cakap orang ramai pun seakan mengambil tempat wahyu Tuhan dalam kehidupan mereka, lalu terhukumlah ramai manusia tanpa bukti melainkan atas nama ‘ramai orang cakap’

Comments

Popular posts from this blog

Hukum Bersalaman dan Aurat dengan Kakak/Abang Ipar

Terima kasih atau Jazakallah Khairan....

Menjernihkan Pencemaran Iklim Politik Negara